GURINDAM MUJAHID oleh DSP Abd Razak Yusoff
Alhamdulillah pembuka madah
kepada Pemberi Qudrah Iradah
Salam buat Penghulu umah
contoh tauladan hidup berhemah
Wahai Tuhan Yang Maha Gagah
menghancur musuh dengan mudah
cuma dengan zatNya yang wahdah
tiada yang boleh menghindar padah
berikan kami kekuatan -`izzah
petunjuk hidayah serta inayah
sikap ta`awwun serta mahabbah
hindari dengki, khianat, jenayah
limpahi kami ilmu yang barakah
dapat menerang memberi faedah
membetulkan barang silap dan salah
pada ugama negara dan ummah
sinari kami cahaya cerah
agar tidak tersasar arah
bersengketa berpecah belah
hingga jamaah menjadi lemah
Ya Allah Tuhan Pemberi Limpah
Yang meliputi setiap zarrah
memulakan Adam dari tanah
menjadikan tulang daging dan darah
dari air yang bersifat rendah
tercipta nutfah, alaqah dan mudghah
sedarlah diri tak kami bermegah
cuma Kau saja tempat menyembah
anugerahkan kami nafsul mahmudah
pengganti sifat ammarah mazmumah
agar rohani tinggi menerjah
hampir di sisiMu di dalam pasrah
jadikan kami berani dan tabah
sanggup berkorban pantang menyerah
hancur badan berkalang tanah
memburu syahid sebagai sumpah
jadikan kami bak anak panah
ke hati musuh pantas menerjah
tepat tembus, gentar gelabah
ketakutan lari tak tentu arah
jadikan kami gagah menggugah
menggempur musuh sehingga parah
rebah lemah akhirnya musnah
barulah lenyap segala fitnah
Ya Allah Tuhan Maha Pentarbiyyah
menciptakan zuriat dari fitrah
didiklah mereka akhlaqul karimah
agar menjadi tunjang ummah
Ya Allah limpahkanlah hidayah
atas seluruh ummah dan jamaah
segala dibuat menjadi mudah
hingga lahirlah Baldatun Toyyibah
Ya Allah Yang Maha Pemurah
sungguh kami mengharap maghfirah
agar selamat dunia wal akhirah
mendapat balasan di dalam jannah
SP VAT 69, UK
3. ilham gurindam ini lahir waktu dinihari semasa menjalani latihan perperangan di tengah hutan belantara di pedu, kedah. gurindam ini dharap menjadikan dodoian pejuang islam ketika kesunyian.